Saturday, March 21, 2009

Kajian-kajian PPSMI

Banyak telah diperkatakan berkaitan dengan Kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh PEMBINA, GAPENA serta universiti tempatan. Namun semuanya diketuai oleh pakar-pakar bahasa. Maka mereka hanya mampu lihat dari aspek bahasa SAHAJA. Mereka ini juga tidak pernah terlibat secara mendalam dalam bidang sains dan teknologi, jesteru itu tidak dapat menghayati kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai Lingua Franca antarabangsa dalam kalangan ahli-ahli sains! Andaikan bahawa kajian tersebut benar-benar tidak wujud pra-sangka dan hanya bertujuan untuk penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan. Kami masih tidak yakin dengan dapatan kumpulan-kumpulan ini kerana ranking IPTA kita juga telah merosot. Kalaulah mereka ini pakar sangat dalam bidang pendidikan kenapa ranking IPTA mereka jatuh? Kalaulah ranking mereka pun mereka ini tidak dapat jaga dan perbaiki apakah mereka boleh sumbang terhadap pendidikan di negara ini? Adakah mereka ini berwibawah untuk membantu KPM? Kami percaya mereka juga banyak mengkaji dan menanbahbaik IPTA masing-masing berdasarkan kajian mereka, seperti perpatah melayu, usaha mereka ini bagaikan "Tikus membaiki labu". Dapatkanlah pendapat daripada mereka yang benar-benar terlibat dalam perkembangan sains dan teknologi diperingkat antarabangsa! Kami percaya memang terdapat ramai dalam kalangan profesor kita di IPTA yang pakar! Jangan pula pakar bahasa nak komen pasal pembelajaran sains!

Selain itu, kesemuanya menyatakan bahawa Bahasa Inggeris mematikan minat murid untuk mempelajari sains dan matematik, namun adakah itu penyumbang utama? Bukankah galakkan ibu bapa dan masyarakat itu juga memainkan peranan dalam minat murid terhadap sesuatu mata pelajaran. Sekiranya, suasana persekitaran seseorang murid tidak memperlihatkan yang sains dan matematik itu penting dalam kehidupan mereka, maka minat mereka secara automatis akan berkurangan. Jadi jangan salahkan dasar sahaja, kaji elok-elok sekiranya nakkan suatu kajian yang sah. Berkaitan dengan kepakaran guru, kita tidak boleh nyatakan bahawa guru kurang kompeten dalam menyampaikan mata pelajaran Sain dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai satu alasan untuk memansuhkan dasar tersebut. Kalau kita berbuat demikian, kita seandainya menyatakan bahawa kalau doktor kita tidak dapat mengubati kanser, maka kita semua tidak boleh menghidapi penyakit kanser! Ataupun kalau polis kita tidak dapat mengajar penyamun kerana penyamun boleh lari dengan pantas, maka kitaperlu pastikan penyamun tidak lari pantas. Kita patut pastikan polis kita boleh lari lebih pantas daripada penyamun supaya mereka boleh tangkap penyamun. Jesteru itu, kita perlu pastikan guru-guru kita lebih cekap mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Lantaran itu, IPTA yang menghasilkan sebilangan besar guru Sains dan Matematik mestilah lebih cekap berbuat demikian, terutama nya UPSI!

Tanyalah mereka yang terlibat dengan industri dan syarikat-syarikat swasta. Bilangan graduan IPTA yang tidak fasih dalam Bahasa Inggeris khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi berjaya mendapatkan kerja dan berjaya dalam kerjaya mereka? Kita tidak boleh teruskan dasar kouta yang menghendaki syarikat-syarikat kita memberikan keutamaan kepada graduan tempatan kita walaupun mereka kurang kompeten untuk berkomunikasi dengan rakan dagang antarabangsa kita kerana ini telah sedikit sebanyak menjejaskan prestasi dan daya saing syarikat-syarikat tersebut dalam arena antarabangsa!

Jangan lupa perpatah melayu "Berdayung-dayung ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang ke kemudian!" Jadi biar pun susah untuk kita mendidik anak-anak kita Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, kita harus laksanakannya supaya mereka lebih berdaya saing di arena antarabangsa pada masa depan.

Monday, March 16, 2009

Kenapa Kita Perlukan PPSMI Bahagian II

Berbalik kepada hujah GMP bahawa negara-negara maju seperti Jepun, Perancis dan German boleh berjaya dengan bahasa mereka. Tahu pun, itu negara-negara maju dan bukan negara membangun! Mereka merupakan negara-negara yang menjadi pelopor kepada tekonologi dan bukan sekadar pengguna teknologi. Mereka telah meneroka bidang sains dan teknologi berpuluh-puluh tahun dahulu malah semenjak sebelum revolusi teknologi. Jepun misalnya, telah meneroka bidang sains dan teknologi sebelum perang dunia lagi. Mereka juga pergi ke barat untuk belajar dan pulang dan membuat penterjemahan ke bahasa mereka dan terus membuat kajian sendiri. Sebagai contoh, semasa penemuan teknologi transistor oleh Bell Labs, beberapa engineer dari Jepun (Sony) telah mendapatkan (membeli) transistor itu dari Bell Labs dan membuat kajian sendiri untuk mengubah material yang digunakan. Ianya membawa kepada beberapa revision terhadap material yang digunakan.

Penterjemahan yang dibuat oleh mereka adalah pada ketika revolusi teknologi belum berlaku lagi. Usaha-usaha dan kajian yang mereka lakukan telah bermula sejak berzaman-zaman dan seiring dengan perkembangan teknologi.

Dimana Malaysia ketika itu ? Malaysia masih belum wujud lagi.

Malaysia kini berada pada zaman teknologi telah melampaui zaman revolusi ... malah bergerak lebih pantas dari yang dijangka. Kita berada di belakang teknologi yang mana bahasanya dikuasai oleh bahasa asing.

Selain itu, bahasa ibunda di Jepun, Peranchis dan Jerman adalah homogeneous bukan seperti di Malaysia ini. Mari kita sama-sama teliti Bahasa Melayu di Malaysia dan Bahasa Ibunda di Malaysia! Murid-murid Melayu di Kelantan, Johor, Kedah, Sabah dan Sarawak mempunyai Bahasa Ibunda yang sangat berbeza. Malah, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri pun tidak faham bahasa ibunda mereka. Jadi persoalannya adakah wajar Kementerian Pelajaran mengajar murid-murid ini menggunakan bahasa ibunda mereka? Ataupun mereka ini terlalu minoriti dan patut di ketepikan?

Memang tidak dinafikan bahawa Bahasa Malaysia boleh menjadi bahasa sains dan teknologi, namun kita perlulah bersabar dan menunggu saatnya apabila kita sudah menguasai teknologi tersebut. Apabila kita telah faham dan kuasai sesuatu bidang teknologi dan mampu menjadi pencipta dan penghasil teknologi yang baru, kita akan dapat pengiktirafan antarabangsa yang kitalah bangsa yang terunggul dan secara tidak langsungnya bahasa kita akan menjadi Lingua Franca bidang tersebut. Kita juga akan berada di hadapan teknologi. Pada masa itu, kita pula menggunakan BM dalam teknologi-teknologi baru yang kita hasillkan.

Maka, pada ketika itu, bangsa-bangsa lain, bangsa barat dan yahudi perlu mempelajari Bahasa Malaysia untuk menguasai dan mempelajari teknologi yang kita hasilkan. Hasilnya, Bahasa Malaysia akan menjadi bahasa teknologi, akan menjadi bahasa yang universal dan terkenal di seluruh dunia. Sekiranya tidak kita hanya syok sendiri sahaja. Yang penting, kita perlu kuasai teknologi yang telah dihasilkan dahulu yang kini dikuasai oleh bahasa inggeris.

Ramai dalam kalangan warga Malaysia kurang yakin dengan keupayaan Negara kita. Misalnya tidak ramai rakyat Malaysia yakin yang pemain badminton lelaki dan perempuan negara boleh menduduki tangga teratas dalam ranking dunia. Pada satu ketika dahulu, kita hanya bergantung kepada jurulatih tempatan sahaja, namun tidak mendatangkan hasil, setelah beberapa tahun mendapatkan khidmat juru latih asing, kualiti badminton negara mula menyerlah dan setelah semuanya kukuh, barulah program latihan diambil alih dan ditambah baik oleh jurulatih tempatan. Keputusan skuad kebangsaan nampaknya telah berjaya menjadi antara negara yang digeruni oleh gergasi-gergasi badminton dunia. Sama sahaja bagi program PPSMI, kita patut biarkan murid-murid pelajari dalam bahasa Inggeris sehingga kita berupaya mendahului teknologi. Untuk menjayakan PPSMI pula semua pihak perlu berusaha sedaya upaya dalam memastikan kejayaan dasar ini. Semua pihak perlu membuang sikap prejudis, membuang kaca mata politik dalam melihat dan memahami dasar ini. Apabila sikap prejudis di ubah, maka kita akan akui matlamat dan objektif dasar ini yang murni. Kita perlu bekerja keras.

Segala usaha, perancangan, prasarana perlu diperhebatkan agar matlamat dan objektif yang murni ini tercapai. Kita semua perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan satu hari nanti, bangsa kita bakal menjadi pencipta, pengeluar dan rujukan bangsa-bangsa lain di dunia. InsyaAllah.

Kenapa Kita Perlukan PPSMI Bahagian 1

Matlamat dan objektif utama program PPSMI supaya pelajar-pelajar dapat menguasai subjek sains dan matematik dalam ertikata yang sebenar. Selain itu, matlamat secara tidak langsung juga dapat meningkatkan penggunaan bahasa inggeris dalam bidang teknikal dalam kalangan pelaksana di Malaysia. Memandangkan Sains dan Matematik merupakan subjek asas kepada bidang Sains, Teknologi Maklumat dan Kejuruteraan, PPSMI akan memudahkan pelajar menguasai bidang-bidang sains dan kejuruteraan di peringkat tinggi (universiti) apabila mereka melanjutkan pengajian mereka kelak.

Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan kerana hampir kesemua 100% bahan rujukan untuk bidang-bidang sains dan teknologi adalah dalam bahasa inggeris. Oleh itu, dengan memahami sains dan matematik dalam bahasa inggeris dari awal lagi, ia akan memudahkan pelajar-pelajar Malaysia memahami konsep dan fundamentals dalam bahan-bahan rujukan ini.

Kita sedar bahawa Bahasa Malaysia sudah digunakan sekian lama. Malah sehingga kini Bahasa Malaysia masih digunakan dalam kedua-dua subjek ini (walaupun secara dwi-bahasa). Masalah yang berlaku adalah semasa di peringkat tinggi (universiti), oleh kerana hampir kesemua bahan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris, ini telah menyukarkan pelajar untuk memahami konsep dan teori asas. Ia memerlukan masa bagi pelajar berkenaan untuk memahamkan terma-terma tertentu. Penterjemahan sendiri serta proses pemikiran dalam bahasa yang berlainan daripada yang dibaca telah menjejaskan pemahaman keseluruhan yang membawa kegagalan dalam menguasai konsep dengan memuaskan bidang yang diceburi. Akhirnya pelajar tadi hanya akan belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan dan semata-mata untuk segulung ijazah dan
bukannya untuk menguasai ilmu. PPSMI digubal untuk menangani masalah ini agar pelajar-pelajar Malaysia mengukuhkan asas mereka dalam Sains dan Teknologi di bangku sekolah lagi agar mereka tidak menghadapi masalah ini apabila mereka melanjutkan pelajaran mereka ke universiti kelak.

Sehingga kini, umat Islam merupakan umat yang paling ramai di dunia, namun kami hanyalah umat pengguna khususnya dalam teknologi. Kita hanya menjadi pengguna. Kita tidak menjadi pencipta. Yang menjadi pencipta adalah bangsa lain dan agama lain. Maka kita amat bergantung kepada bangsa barat dan yahudi dalam segala-galanya. Ini menjadikan kita begitu lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Malah untuk memboikot barangan US pun kita tidak mampu kerana kita tiada alternatif lain selain daripada bergantung kepada barangan mereka. Situasi yang kita hanyalah bangsa dan umat pengguna amat menyedihkan. Kita hanya mampu merintih, meratap dan menangis di atas kekejaman yang dibuat oleh orang-orang barat dan yahudi terhadap umat Islam. Kita hanya boleh merayu meminta belas kasihan mereka. Lebih-lebih pun kita hanya mampu berkata "...mereka ini kejam ", "jangan buat begitu ", "...tolong hentikan serangan", "...mereka ini tak berperikemanusiaan lah"... dan pelabagai kata-kata lain. Ini adalah akibat daripada hakikat yang kita bukan bangsa atau umat yang dihormati di atas kejayaan kita menguasai teknologi. Kita adalah umat pengguna. Untuk memastikan situasi ini tidak berlarutan, kita perlu beranjak dari hanya menjadi umat pengguna kepada menjadi umat pencipta, kita perlu kuasai sains dan tekonologi. Bukan sahaja lulus dalam ujian...tetapi perlu kuasa ilmu tersebut. Apabila kita menjadi pencipta, maka bangsa barat dan yahudi tidak akan berani menindas dan menghina umat Islam. Kejadian di Palestine juga tidak akan berlaku sekiranya kita adalah umat pencipta dan pengeluar teknologi.

.... bersambung dalam bahagian dua

Sunday, March 15, 2009

Hujah PAGE Lawan GMP

Menurut PAGE, GMP berpendapat Bahasa Inggeris tidak boleh dipelajari melalui PPSMI. Namun PAGE tidak bersetuju dengan pendapat GMP dan beranggapan bahawa murid-murid memang boleh mempelajari Bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Menurut PAGE, Bahasa Inggeris merupakan Lingua Franca dunia Sains dan Matematik. Ini bermaksud bahasa ini digunakan sebagai bahasa pengantara antara dua orang yang berlainan bahasa ibunda apabila membincangkan hal-hal berkaitan Sains dan Matematik ataupun bahasa yang unggul dalam sesuatu bidang. Namun demikian, kami percaya bahawa takrifan yang awal lebih tepat dalam konteks PPSMI. Walaupun, Bahasa Malaysia merupakan lingua franca di Malaysia ia bukan lingua franca dirantau Asia Tenggara. Kalau kita teliti secara objektif, Bahasa Melayu yang dianggap lingua franca di asia tenggara juga tidak ada piawaiannya kerana pengistilahan yang bereza dalam kalangan penuturnya. Oleh yang demikian, hanya nama Bahasa Melayu sahaja yang sama, pada hal bahasanya memang berbeza. Berbanding dengan Bahasa Inggeris, yang kesemua penggunanya mempunyai pengistilahan yang sama. Atas sebab tersebut kebanyakan ahli Sains dan Matematik lebih cenderung dalam menggunakan Bahasa Inggeris apabila menerbitkan bahan ilmiah berbanding dengan Bahasa Lain.

Dalam PPSMI, murid-murid dapat mempelajari kandungan pelajaran Sains dan Matematik disamping mempelajari Bahasa Inggeris. PPSMI memberi ruang kepada amalan pedagogi yang merupakan pendekatan pragmatik bagi murid-murid mempelajari “Scientific English” disamping memberikan pendedahan kepada “Conversational English”. Jesteru itu, murid-murid yang telah melalui program PPSMI lebih sebati dengan pengistilahan Lingua Franca Sains dan Matematik antarabangsa.

Memandangkan penyokong GMP yang kebanyakannya tidak menggunakan ilmu “science dan mathematics” yang mendalam tidak mungkin dapat menghayati isu ini. Oleh itu, mereka tidak mempunyai “local-standi” untuk komen mengenai isu ini! Mereka harus pohon penemuan dengan pengurusan tertinggi KPM untuk mendapatkan penjelasan yang sewajarnya berkaitan dengan PPSMI. Kami yakin selepas penemuan tersebut rakan-rakan GMP tidak lagi perlu untuk mengadakan perarakkan beramai-ramai dijalanan!

Wednesday, March 11, 2009

Menjawab Laungan GMP

Laungan kumpulan GMP bahawa PPSMI merendahkan martabat Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran adalah satu persepsi yang terpesong dan tidak benar. Untuk makluman penyokong-penyokong GMP dan khususnya tiga orang "tokoh" yang diagong-agongkan pengikut mereka, Bahasa Malaysia masih mempunyai martabat yang tertinggi di sekolah-sekolah di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk membuktikan tuntutan ini, marilah kita sama-sama meneliti waktu pembelajaran mata-mata pelajaran yang ada di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran.



Berdasarkan analisis ini, hanya 40.42% waktu pengajaran dijalankan dalam Bahasa Inggeris (termasuk waktu pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris) sementara 59.58% waktu pengajaran dijalankan dalam Bahasa Malaysia. Selain itu, semua aktiviti dan komunikasi rasmi dalam sekolah juga dijalankan dalam Bahasa Malaysia. Oleh yang demikian, runggutan GMP yang martabat Bahasa Malaysia direndahkan adalah tidak benar.










Analisis waktu pengajaran di sekolah menengah adalah seperti berikut:


Jadual di sebelah menunjukkan peruntukan waktu pengajaran di sekolah menengah kebangsaan. Berdasarkan analisis tersebut, hanya 37.5% masa pengajaran diperuntukkan untuk pengajaran dalam Bahasa Inggeris (termasuk mata pelajaran Bahasa Inggeris) sementera 62.5% masa pengajaran dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia. Sama seperti di sekolah rendah, semua aktiviti dan komunikasi rasmi di kalangan warga sekolah dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia. Oleh yang demikian, runggutan GMP yang PPSMI merendahkan martabat Bahasa Malaysia di sekolah adalah tidak berasas.



Dari segi penguasaan Bahasa Malaysia/Melayu dalam kalangan murid-murid terbukti tidak terjejas kerana mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk berinteraksi dalam Bahasa Melayu termasuk masa mereka berkomunikasi di rumah. Perlu diingatkan bahawa aktiviti sekolah seperti Perhimpunan Sekolah, mesyuarat persatuan dan kelab, sukan serta aktiviti gerak kerja ko-kurikulum yang dijalankan di sekolah secara rasmi selain pembelajaran formal di kendalikan dalam Bahasa Malaysia. Selain itu, jelas bahawa peruntukkan masa murid-murid di sekolah kebangsaan (menengah dan rendah) didedahkan dalam Bahasa Malaysia secara keseluruhan jauh melebihi (lebih daripada 70%) bahasa-bahasa lain. Oleh yang demikian, pendedahan bahasa masa kini tidak merendahkan martabat Bahasa Malaysia.

*** Maklumat daripada PAGE